Peranan melantik Bundestag

Parlimen mempunyai fungsi penting melantik beberapa pemegang jawatan tertinggi negara. Pemegang-pemegang jawatan ini pula bertanggungjawab melantik pemegang jawatan di bawah mereka. Sebagai contoh Presiden persekutuan menamakan pegawai-pegawai persekutuan manakala canselor melantik menteri-menteri kabinet. Hal ini sekaligus mengesahkan kedudukan mereka di bawah prinsip demokrasi.

Perlantikan canselor

Rencana utama: Canselor

Menurut Perkara 63 Perlembagaan Jerman, ahli-ahli Bundestag diberikan hak untuk melantik salah seorang daripada kalangan mereka untuk menjawat jawatan canselor. Perlantikan dimulakan dengan penamaan seorang calon oleh Presiden persekutuan. Calon ini mestilah seorang yang bebas dari segi undang-undang untuk bertindak sendiri dan dari segi politik mampu menerima sokongan majoriti ahli-ahli parlimen. Kebanyakan calon sudah boleh dikenalpasti pada petang selepas pilihan raya umum tamat dan selalunya datang dari parti politik yang mempunyai majoriti di Bundestag. Pemilihan dilakukan dalam satu undi rahsia tanpa sebarang sesi perbahasan. Sekiranya calon ini mendapat sekurang-kurangnya majoriti mudah, maka beliau akan diisytiharkan sebagai canselor oleh Presiden persekutuan. Jika tidak, ahli-ahli parlimen diberi tempoh selama 14 hari untuk menamakan seorang calon lain yang menerima majoriti mudah dalam pengundian rahsia yang serupa. Sekiranya di dalam pengundian itu, tiada seorang calon pun yang menerima majoriti mudah, maka satu pengundian baru diadakan semula. Pemenang dalam pengundian ini akan dinamakan oleh Bundestag sebagai calon canselor untuk dicadangkan kepada presiden persekutuan. Jika calon ini berjaya menerima majoriti mutlak, presiden persekutuan mempunyai tempoh selama 7 hari untuk mengesahkan perlantikannya. Sebaliknya, jika calon ini hanya menerima undi terbanyak, presiden persekutuan mempunyai 7 hari untuk memutuskan samada mengesahkan perlantikan ini atau membubarkan parlimen.

Undi tidak percaya dan usul percaya

Rencana–rencana utama: Undi tidak percaya dan Usul percaya

Sepanjang penggal perkhidmatan parlimen dan sebelum pilihan raya umum dijalankan, pihak penyokong kerajaan mahupun pembangkang berhak untuk mencadangkan satu usul tidak percaya jika wujud situasi yang menyaksikan canselor kehilangan sokongan majoriti ahli-ahli dewan. Usul tidak percaya ini hanya disasarkan terhadap canselor dan sekiranya majoriti ahli mengundi untuk menyokong usul ini, canselor dikehendaki meletakkan jawatan. Menurut Perkara 67 Perlembagaan Jerman, selepas usul tidak percaya dijalankan yang menyaksikan tewasnya canselor ketika itu, parlimen berhak menjalankan pengundian memilih penggantinya. Proses pemilihan adalah sama seperti perlantikan canselor selepas pilihan raya tetapi dilakukan tanpa menerima cadangan daripada presiden persekutuan. Calon yang berjaya akan dinamakan sebagai canselor yang baru oleh parlimen sebelum disahkan oleh presiden persekutuan. Dalam hal ini, Presiden persekutuan tidak mempunyai pilihan lain selain menerima perletakan jawatan canselor lama dan pelantikan penggantinya yang dinamakan oleh Bundestag melainkan calon baru itu tidak mendapat majoriti mutlak ahli-ahli parlimen. Sekiranya kes ini tejadi, Presiden persekutuan mempunyai pilihan samada untuk menerima perlantikan itu atau membubarkan parlimen.

Di samping itu, pihak kerajaan juga berhak mencadangkan satu usul percaya untuk dibahas dan diundi oleh ahli-ahli dewan. Jika usul ini tidak mendapat sokongan majoriti mutlak, canselor bertanggungjawab menasihatkan presiden persekutuan untuk membubarkan parlimen. Sekiranya presiden persekutuan tidak mahu berbuat demikian sebagai contoh dengan alasan pilihan raya umum baru sahaja beberapa bulan dijalankan, beliau boleh mengisytiharkan darurat ke atas cabang perundangan hanya selepas menerima persetujuan Majlis Persekutuan. Tempoh darurat ini hanya berkuatkuasa ke atas Bundestag dan membolehkan kerajaan menjalan pentadbiran negara seperti biasa selain kuasa menggubal undang-undang tanpa penglibatan parlimen tetapi dengan persetujuan Majlis Persekutuan. Darurat ini tidak sama dengan darurat yang diisytiharkan akibat peperangan mahupun bencana alam.

Pemilihan Presiden Persekutuan

Ahli-ahli parlimen membentuk separuh daripada keahlian Majlis Perhimpunan Persekutuan (atau Bundesversammlung) yang bertanggungjawab memilih Presiden Persekutuan bagi negara Jerman. Keahlian yang lain pula terdiri daripada individu yang dipilih oleh parlimen-parlimen negeri berdasarkan prinsip berkadaran. Presiden Bundestag turut bertugas mempengerusikan pemilihan sewaktu Majlis Perhimpunan Persekutuan bersidang.

Pelantikan Hakim-hakim Persekutuan

Menurut Perkara 94 Perlembagaan Jerman, Bundestag juga diberi peranan melantik sebahagian daripada hakim-hakim yang bertugas di Mahkamah Perlembagaan Persekutuan (Bundesverfassungsgericht) melalui satu suruhanjaya perlantikan khas. Keahlian suruhanjaya ini terdiri daripada dua belas anggota daripada pelbagai parti yang diwakili di Bundestag. Pelantikan seseorang hakim perlu mendapat undi daripada sekurang-kurangnya 8 ahli suruhanjaya ini. Hakim-hakim yang dilantik selalunya tidaklah memihak kepada satu-satu parti politik. Sebaliknya kedua-dua kumpulan terbesar di parlimen sering mempersetujui satu pakej yang akan melantik calon-calon mereka dalam bilangan yang sama banyak. Kadangkala, calon-calon yang dicadangkan oleh parti Hijau mahupun FDP turut dilantik. Dalam penghakiman mereka, hakim-hakim ini jarang sekali mengikut ideologi parti yang mencalonkan mereka.

Sebahagian daripada hakim-hakim di Mahkamah Perlembagaan Persekutuan pula dilantik dengan majoriti dua pertiga oleh Bundesrat.

Hakim-hakim yang bertugas di Mahkamah-mahkamah persekutuan yang lain pula dipilih oleh satu suruhanjaya perlantikan hakim yang berbeza dengan suruhanjaya yang bertanggungjawab melantik hakim-hakim ke Mahkamah Perlembagaaan Persekutuan. Anggota-anggota suruhanjaya ini terdiri daripada semua menteri-menteri kabinet kerajaan negeri dengan portfolio bersangkutan dan ahli-ahli parlimen dalam jumah yang sama banyak. Suruhanjaya ini hanya bersidang apabila menteri kabinet persekutuan yang berkaitan mencadangkan calon-calon untuk mengisi kekosongan di Mahkamah-mahkamah berikut: Mahkamah Keadilan (Bundesgerichtshof), Mahkamah Pentadbiran (Bundesverwaltungsgerichtshof), Mahkamah Kewangan (Bundesfinanzhof), Mahkamah Buruh (Bundesarbeitsgericht) dan Mahkamah Sosial (Bundessozialgericht).